Khamis, 31 Mac 2011

Solat Sunat Hajat: Perlukah Berjemaah?

Solat Sunat Hajat: Perlukah Berjemaah?
Badrul Hisham bin Sulaiman[1]
 
 
Seolah-olah sudah menjadi satu kemestian bagi masyarakat Melayu di Kelantan, apabila mereka mempunyai sebarang hajat, maka akan dijemput tok imam, beberapa orang jiran tetangga untuk datang ke rumah bagi tujuan menunaikan solat sunat hajat berjemaah. Seterusnya menjamu selera dengan sedikit hidangan yang disediakan oleh tuan rumah (empunya hajat).
 
Sudah berapa lama adat dan kebiasaan sebegini berkembang dalam masyarakat, saya sendiri tidak pasti  kerana dari segi fakta sejarahnya tidak diketahui secara tepat bilakah ianya bermula. Maka di dalam risalah ini, saya akan cuba membuat analisa dan kajian secara ilmiyyah terhadap amalan ini; adakah semestinya ia diteruskan secara berjemaah atau memadai secara bersendirian. Atau dengan lain perkataan, cara yang mana satukah dikira lebih menepati sunnah?
 
Apa yang saya tulis, hanya sekadar analisa untuk membina percambahan minda. Terpulang kepada individu itu sendiri, sama ada mahu menerima atau sebaliknya. Bukanlah niat saya untuk mengubah kebiasaan yang sudah sebati dalam masyarakat, tapi sekurang-kurangnya biarlah kita benar-benar memahami sesuatu permasalahan agama dengan beramal mengikut disiplin ilmu yang memberi keyakinan.
 
 

Pensyariatan Solat Hajat

Dalil pertama:
Di dalam kebanyakan kitab-kitab Fekah Mazhab, ulamak-ulamak dalam mazhab berhujah dengan hadis Riwayat Adullah bin Abi Aufa Radhiallahu 'anh, hadis dikeluarkan oleh Ibnu Majah: Nas hadis seperti berikut:
 
عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ أَبِي أَوْفَى الْأَسْلَمِيِّ قَالَ: خَرَجَ عَلَيْنَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ
 
 مَنْ كَانَتْ لَهُ حَاجَةٌ إِلَى اللَّهِ أَوْ إِلَى أَحَدٍ مِنْ خَلْقِهِ فَلْيَتَوَضَّأْ وَلْيُصَلِّ رَكْعَتَيْنِ ثُمَّ لِيَقُلْ
 
 لا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ الْحَلِيمُ الْكَرِيمُ سُبْحَانَ اللَّهِ رَبِّ الْعَرْشِ الْعَظِيمِ الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ
 
 اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ مُوجِبَاتِ رَحْمَتِكَ وَعَزَائِمَ مَغْفِرَتِكَ وَالْغَنِيمَةَ مِنْ كُلِّ بِرٍّ وَالسَّلَامَةَ مِنْ كُلِّ إِثْمٍ أَسْأَلُكَ أَلَّا تَدَعَ لِي ذَنْبًا إِلَّا غَفَرْتَهُ
 
وَلَا هَمًّا إِلَّا فَرَّجْتَهُ وَلَا حَاجَةً هِيَ لَكَ رِضًا إِلَّا قَضَيْتَهَا لِي
 
 ثُمَّ يَسْأَلُ اللَّهَ مِنْ أَمْرِ الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ مَا شَاءَ فَإِنَّهُ يُقَدَّرُ
 
Dari Abdillah bin Aufa Al-aslamiy katanya: Rasulullah Sallallahu Alaihi wasallam keluar (menemui kami) dan berkata:
“Sesiapa yang ada sebarang hajat kepada Allah atau kepada seseorang di kalangan makhluk–Nya (manusia) maka hendaklah dia berwudhu'
dan solat dua rakaat kemudian dia berkata (berdoa):
Tiada Ilah melainkan Allah yang bersifat Al-Halim dan Al-Karim, maha suci Allah Tuhan yang memiliki Arasy yang agung,
Segala puji bagi Allah Rabb seluruh alam, Ya Allah! Aku memohon kepada engkau wajiblah ku mendapat rahmat-Mu,
kemestian memperolehi keampunan-Mu, kaya dengan segala kebajikan, selamat sejahtera dari sebarang dosa,
aku memohon kepada-Mu agar tidak engkau biarkan bagiku sebarang dosa melainkan diampunkan,
tiada kedukaan melainkan dilepaskannya (dariku), tiada sebarang hajat demi redha-Mu melainkan engkau tunaikannya bagiku",
 
kemudian mintalah kepada Allah dari sebarang urusan dunia dan akhirat apa yang dia kehendaki, maka sesungguhnya Dia (Allah) yang menentukan. 
 
Status hadis dinilai oleh As-Syaikh Nasiruddin Al-Albani di dalam Misykatu Al-Masabih sebagai Hadis maudhuk (palsu) no.hadis 1327, Di dalam Dhaif Sunan Ibnu Majah beliau menilai sebagai Dhaif Jiddan (sangat lemah) no.hadis 1384. Hadis juga dikeluarkan oleh Imam Tirmizi(397H) dan beliau menilainya sebagai lemah, kerana pada sanadnya seorang yang bernama Faid bin Abdul Rahman (seorang yang dhaif, nama asalnya Abu Al-Warqa')[2]. Hadis yang sama dikeluarkan juga oleh Al-Hakim didalam Al-Mustadrak Ala As-Sahihain [3].
 
Seandainya hadis ini memiliki status sahih sekali pun ia tidak mempunyai sebarang qarinah (petunjuk) yang memberi isyarat bahawa solat sunat hajat ditunaikan secara berjemaah. Al-Imam An-Nawawi (676H) telah menyebut dalam Kitab Al-Majmuk Syarh Al-Muhazzab:
Satu fasal: Masalah-masalah berkaitan dengan bab solat sunat ….(Ada sepuluh perkara yang disebut…)  yang keenam: tentang solat hajat daripada Ibn Abi Aufa. [4]
 
Perkara seumpama ini dinyatakan di dalam kitab Asna Al-Matalib,[5] dan di dalam kitab Syarah Muntaha Al-Iradat[6].
 
 
Dalil kedua:
 
عن عثمان بن حنيف رضي الله عنه :  أن أعمى أتى إلى رسول الله صلى الله عليه وسلم فقال
 
 يا رسول الله ادع الله أن يكشف لي عن بصري قال أو أدعك قال يا رسول الله إنه قد شق علي ذهاب بصري
 
 قال فانطلق فتوضأ ثم صل ركعتين ثم قل
 
 اللهم إني أسألك وأتوجه إليك بنبيي محمد صلى الله عليه وسلم نبي الرحمة
 
 يا محمد إني أتوجه إلى ربي بك أن يكشف لي عن بصري
 
 اللهم شفعه في وشفعني في نفسي فرجع وقد كشف الله عن بصره.
 
رواه الترمذي وقال حديث حسن صحيح غريب
 
Dari Uthman bin Hunaif Radhiallahu 'anh: Bahawa seorang lelaki buta datang kepada Rasulullah sallallahu alaihi wasallam, maka dia berkata:
Wahai Rasulullah! Berdoalah kepada Allah agar Dia menyingkapkan kembali pandangan mataku,
Dan (Rasulullah) berkata: Atau aku biarkan engkau (terus dalam keadaan buta).
Lelaki buta berkata: Sesungguhnya telah menyukarkan aku akan kehilangan pandangan mataku ini.
Rasulullah sallallahu alaihi wasallam bersabda: Pergilah engkau berwudhuk, kemudian solatlah dua rakaat kemudian bacalah (berdoa):
“Ya Allah sesungguhnya aku memohon kepada Engkau dan aku bertawajjuh (menghalakan) permintaanku kepada-Mu dengan nabiku nabi pembawa rahmat[7], Ya Muhammad sesungguhnya aku bertawajjub kepada Tuhanku dengan (keberkatan dirimu) agar Dia menyingkapkan mataku (mengembalikan penglihatanku)”.
Nabi berkata: “Ya Allah: Syafaat dia dengan sebab diriku, syafaatkan aku pada diriku. Dia (si buta) kembali (ke rumahnya) dalam keadaan matanya telah Allah jadikan pulih seperti biasa (dapat melihat semula).”[8]
 
Hadis ini dikeluarkan oleh Al-Imam An-Nasai di dalam Sunan Al-Kubra hadis no: 10496. Dimasukkan juga oleh Al-Hakim di dalam Al-Mustadrak.[9] Hadis ini dinilai sahih oleh Syaikh Nasiruddin Al-Albani di dalam Sahih At-Targhib Wa Tarhib, hadis no: 678. Pengarang asal kitab berkenaan Al-Imam Al-Munziri (Al-Hafiz Zakiyyudin Al-Azim Al-Munziri Ad-Dimasyqi) meletakkan Hadis ini dibawah tajuk: “galakan pada menunaikan solat hajat dan doanya".
 
Matan hadis ini satu-satunya matan hadis sahih yang dapat dikesan dalam bab solat hajat. Cuma di dalam riwayat Imam Tirmizi pula tiada disebut “sembahyanglah dua rakaat”.
 
Kefahaman Dan Pengajaran (Istinbat) Dari Hadis Uthman Bin Hunaif Radhiallahu 'anh:
  • Diharuskan kita meminta pertolongan dari orang lain yang lebih baik darjat dan kedudukannya di sisi Allah Subhanahu Wataala untuk mendo'akan bagi pihak orang yang berhajat seperti mana dalam kisah si buta yang datang berjumpa Rasulullah Sallallahu alaihi wasallam memohon agar didoakan untuknya supaya dapat melihat kembali.
  • Orang yang dipohon pertolongan kepadanya pula berhak memilih samada untuk menolak atau pun menunaikan hajat orang yang berhajat. Berkaitan dengan kelebihan orang buta yang sabar dengan keadaan dirinya yang buta dinyatakan dalam hadis lain dalam Sahih Bukhari: hadis no: 5653 [10].

إِذَا ابْتَلَيْتُ عَبْدِي بِحَبِيبَتَيْهِ فَصَبَرَ عَوَّضْتُهُ مِنْهُمَا الْجَنَّةَ يُرِيدُ عَيْنَيْهِ

Apabila Aku menguji hamba-Ku dengan dua kekasihnya(dua biji matanya) maka dia bersabar,
Aku gantikan untuknya (dari dua matanya yang buta) dengan syurga.
 
  • Rasulullah Sallallahu alaihi wasallam menyuruh orang buta yang “berhajat” itu sendiri yang melaksanakan permohonan hajatnya kepada Allah. Perhatikan maksud yang dipetik dari hadis berkenaan “Pergilah engkau berwudhuk, kemudian solatlah dua rakaat kemudian bacalah (berdoa). Ungkapan ”maka pergilah engkau” diterjemah dari sabda Nabi (فانطلق).
Ungkapan ini jelas membawa pengertian bahawa Nabi Sallallahu alaihi wasallam tidak mahu ”memanjakan” umatnya melakukan sesuatu dengan bergantung harap sepenuhnya kepada orang lain. Baginda lebih suka seseorang itu sendiri yang melakukannya, apatah lagi dalam urusan hajat yang berbentuk ”peribadi” seperti memohon orang lain tolong doakan untuk kita.
 
Ini bukanlah bermaksud, kita ditegah sama sekali memohon pertolongan dari orang lain untuk mendoakan bagi pihak kita. Cuma janganlah terlalu berlebih-lebihan dalam meminta dan hilang keyakinan untuk melakukan sendiri. Tiada menjadi kesalahan sekali-sekala kita meminta si fulan ini atau si fulan itu (yang dilihat sebagai sebagai orang yang alim yang warak lagi bertaqwa) mendoakan kebaikan bagi pihak kita. 
 
Berdoalah kepada Allah dan tanamkan keyakinan di hati bahawa hajat kita akan diperkenankannya. Sehubungan dengan tajuk doa ini, Rasulullah Sallallahu alaihi wasallam bersabda:
 
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ
 
ادْعُوا اللَّهَ وَأَنْتُمْ مُوقِنُونَ بِالْإِجَابَةِ وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ لَا يَسْتَجِيبُ دُعَاءً مِنْ قَلْبٍ غَافِلٍ لَاهٍ
 
Dari Abi Hurairah bahawa Rasulullah Sallallahu alaihi wasallam bersabda: Berdoalah kepada Allah dan kamu yakin diperkenankan permintaanmu, dan ketahuilah Bahawa Allah tidak memperkenankan doa dari hati yang lalai dan leka.”[11]
 
  • Perhatikan dan renungkan keseluruhan maksud hadis ini. Lihatlah betapa besarnya hajat lelaki yang buta ini. Bayangkan juga betapa gembiranya hati beliau apabila matanya yang buta dapat celik semula. Namun, perasankah kita bahawa hadis ini tidak mengambarkan adanya sebarang qarinah (petunjuk atau isyarat) bahawa solat hajat yang ditunaikan oleh lelaki itu dilakukan secara berjamaah.
Tiada bukti bahawa Rasulullah Sallallahu alaihi wasallam memanggil beberapa sahabat yang lain untuk ditunaikan solat hajat berjamaah di masjid atau pun di rumah. Seandainya hajat yang sebesar ini tidak dilakukan berjamaah, apakah alasan kita bahawa hajat sekecil ”dompet duit hilang”, atau ”si anak di rumah nak masuk periksa UPSR atau PMR atau lain-lain peperiksaan”, lalu kita merasakan seakan tidak sempurna permohonan hajat kita kepada Allah tanpa ada solat hajat berjemaah.
 
  • Hadis ini juga menunjukkan bahawa permohonan hajat boleh dilakukan dalam tiga bentuk:
  1. Berwudhuk dan berdoa (tanpa solat) sebagaimana dalam riwayat Imam A-Tirmizi.
  2. Berwudhuk, solat (sendirian) dan berdoa (sebaiknya berdoa pada waktu yang mustajab doa seperti doa selepas solat fardhu atau berdoa pada waktu akhir malam sebelum masuk waktu solat subuh dan sebagainya).
  3. Meminta bantuan dari pihak lain khususnya dari orang yang alim dan bertaqwa menunaikan solat dan berdoa bagi pihak kita. Tetapi bukanlah bermaksud dibuat berjemaah. Memadai si alim itu melakukannya sendirian di rumah. Cuma cara ini kurang digalakkan kerana Islam menggalakkan seseorang berusaha sendiri dan belajar ilmu tentang cara solat hajat dan bacaan doa.
 
Alasan yang biasa didengar ”kami minta tok imam tolong buat sembahyang hajat, sebab kami tak berapa pandai nak buat sendiri dan tak tahu doa dalam bahasa Arab”. Atau mungkin pelbagai lagi alasan lain yang dikemukakan. Soalnya sampai bila masyarakat hendak dibiarkan manja dengan bergantung harap kepada orang lain. Bukankah menuntut ilmu satu kefardhuan. Sabda Nabi Sallallahu alaihi wasallam dari riwayat Anas bin Malik:
 

طَلَبُ الْعِلْمِ فَرِيضَةٌ عَلَى كُلِّ مُسْلِمٍ

 
Menuntut ilmu adalah wajib ke atas setiap Muslim"[12]
 
Mungkin apa yang berlaku dalam kes ”solat hajat berjemaah” adalah implikasi dari budaya taqlid yang sudah begitu lama berakar umbi dalam masyarakat hingga budaya beramal mengikut disiplin ilmu yang tepat dan sahih hampir lenyap dan pupus. Semuanya berpegang kepada kaedah ”pakai main tiru” dan ”ikut apa yang orang ramai buat". Budaya ”ikut apa yang orang ramai buat, kita pun buat sama” sudah lama membarah dalam masyarakat, hinggakan di kalangan ilmuan Islam (para ustaz, orang-orang alim dan tuan-tuan guru) turut sama terbabit dalam amalan yang bukan sebahagian dari budaya di zaman Rasulullah Sallallahu alaihi wasallam, zaman sahabat mahu pun zaman tabiin.
 
Seandainya, dilontarkan pertanyaan kepada golongan yang belajar bidang agama tentang masalah solat hajat berjemaah, bukan semua mampu memberikan jawapan yang meyakinkan. paling tidak pun ada yang berkata ”buat apa nak bising, masalah inikan masalah khilafiyyah, nak buat berjemaah pun boleh, tak nak buat berjemaah pun boleh”.
 
Lebih mendukacitakan yang belajar sekolah agama pun jawab macam orang kampung yang tidak mengaji sekolah agama ”lihat tu, ramai orang alim turut sama buat, jadi tak betul ke kalu kita buat berjamaah". Ada juga yang kata ”Tidakkah kita digalakkan solat berjemaah kerana ianya lebih afdhal dari solat sendirian".
 
Jawapan-jawapan sebegini menggambarkan tahap mentaliti masyarakat Melayu yang berbeda-beda. Kalau beginilah cara berfikir golongan agamawan kita, maka tak peliklah masyarakat terus menerus dibelenggu budaya taqlid dan tiada langsung kesedaran hidup beragama berpandukan sumber ilmu yang tepat. Jauh sekali membentuk jiwa yang bermotivasi dalam bab menuntut ilmu.
 
Beginilah sikap orang kita dalam soal kehidupan beragama yang sepatutnya dikaji semula. Kita suka ambil sikap mudah dan buat ala kadar. Pada hal dalam urusan keduniaan kita begitu prihatin. Contoh: sekiranya kita menerima bil telefon yang tinggi dari kebiasaannya, sudah tentu kita segera bergegas ke Kedai Telekom mahu mengenal pasti apa sebabnya. Atau kita merasakan mungkin ada pihak lain yang curi line telefon rumah kita.
Namun dalam urusan ibadat dan agama, kita mengambil sikap ”pandang sebelah mata dan buat tak kisah". Apa yang saya ingin maksudkan di sini kita perlu bergerak membina kesedaran untuk kembali beramal mengikut zaman Rasulullah dan para sahabat baginda; atau dengan lain perkataan usaha membawa ”pembaharuan” (tajdid) dalam masyarakat kita perlu digiatkan.
 
Majlis-majlis pengajian ilmu perlu diubah pendekatannya. Minda masyarakat perlu ”dibedah” untuk dibuang penyakit fanatik dengan amalan tradisi hingga sukar menerima kebenaran. Kenapa saya mengatakan kita perlu kembali kepada beramal mengikut pendekatan para sahabat? Ini kerana generasi sahabat adalah adalah generasi yang paling baik. Diakui oleh Rasulullah Sallallahu alaihi wasallam: Lihat hadis berikut:
 
خَيْرُ النَّاسِ قَرْنِي ثُمَّ الَّذِينَ يَلُونَهُمْ ثُمَّ الَّذِينَ يَلُونَهُمْ
 
Sebaik-baik (golongan) manusia ialah yang hidup di zamanku, kemudian orang–orang yang selepasnya, kemudian orang-orang yang selepasnya.[13]
Kelebihan dan keistimewaan para sahabat lebih menyerlah dari matan hadis berikut:
 
لا تَسُبُّوا أَصْحَابِي فَلَوْ أَنَّ أَحَدَكُمْ أَنْفَقَ مِثْلَ أُحُدٍ ذَهَبًا مَا بَلَغَ مُدَّ أَحَدِهِمْ وَلَا نَصِيفَهُ
 
Jangan kamu cerca (caci dan maki) sahabat-sahabatku! Maka kalaulah seseorang di antara kamu membelanjakan emas seumpama bukit Uhud (banyaknya)tidaklah sampai (nilainya)menyamai seperti secupak atau setengah cupak yang mereka (sahabat-sahabatku) belanjakan.[14]
         
Seandainya solat hajat secara berjemaah merupakan cara yang terbaik mengikut dakwaan sesetengah pihak, sudah tentu para sahabat yang terlebih dahulu melakukannya. Tetapi tidak ada satu pun riwayat di dalam mana-mana kitab Hadis atau Kitab Sirah, samada riwayat itu sahih, hasan atau dhaif menyebut ada sesiapa di kalangan sahabat pernah melakukannya. Tidak ada dan memang tidak ada. Sedangkan mereka juga manusia yang mempunyai hajat seperti kita. Ya! mereka hanya tunaikan solat hajat bersendirian di rumah atau mungkin di masjid tanpa berjemaah!  
 
Ada setengah pihak menganggap hadis Uthman bin Hunaif bukan dalam bab solat hajat, tetapi dalam bab doa. Saya kehairanan mendengar jawapan sebegini kerana hadis tersebut secara jelas dimasukkan di bawah tajuk ”Galakan pada solat hajat dan doanya” seperti yang telah dinyatakan. Bahkan dalam matan hadis pun ada disebut ”Maka tunaikanlah solat (hajat) dua rakaat”.
 
Jadi adakah dikira wajar, matan hadis ini bukan dalam bab solat hajat, tapi hanya dalam doa sahaja?  Saya memberikan soalan ini kepada pembaca maka terpulanglah kepada pembaca mencari sendiri jawapannya. Diharap pembaca dapat bersabar untuk terus membaca risalah ini hingga ke akhirnya. Sekarang kita lihat pula dalil seterusnya.
 
 
Dalil ketiga
Sebenarnya dalil ketiga ini, pada hakikatnya tiada kaitan dengan bab solat hajat berjemaah, tetapi terpaksa saya masukkan juga untuk perbahasan selanjutnya memandangkan ada pihak mendakwa ianya ada hubung kait dengan persoalan solat hajat berjemaah. Benar atau tidak dakwaan itu, sama-sama kita lihat nanti.
 
Pihak yang berkenaan mendakwa di dalam sesetengah kitab Fekah Mazhab Al-Imam As-Syafie Rahimahullah, ada di kalangan ulamak yang berpendapat hukum keharusan menunaikan solat hajat berjemaah dirujuk kepada umum satu riwayat hadis dalam Sahih Bukhari.
Hadis yang dimaksudkan ialah Hadis Itban bin Malik. Sebelum saya kemukakan hadis berkenaan, sukalah dimaklumkan bahawa setelah dibuat analisa dan kajian, rupa-rupanya di dalam Sahih Bukhari, hadis riwayat Itban Bin Malik diulang pada tujuh tempat yang berlainan, dengan tajuk yang berlainan tetapi matan hadis yang hampir sama. Oleh kerana hadisnya agak panjang, maka saya terus kepada terjemahannya dan manakala matan asal yang dibawakan di sini diambil bahagian akhir hadis:
 
Matan ini diambil dibawah tajuk ”Solat Sunat Berjemaah” dari hadis riwayat Anas dan Aisyah. Ceritanya begini:
 
Seorang rawi hadis yang bernama Mahmud mengatakan bahawa dia ada mendengar Itban bin Malik yang merupakan salah seorang sahabat yang telah ikut serta ke medan peperangan Badar, ada berkata:
Adalah aku menjadi imam bagi masyarakat kampungku (Bani Salim). Tapi oleh kerana antara rumahku dan tempat solat mereka (Bani Salim) ada wadi (lembah) yang mana apabila turun hujan aku tidak dapat pergi solat fardhu berjemaah bersama mereka. Maka sangat sukar bagiku untuk melepasi lembah berkenaan untuk menuju ke masjid.
Jadi aku pun pergi bertemu Rasulullah Sallallahu alaihi wasallam dan memberitahunya: Pandangan mataku kurang baik (masalah penglihatan yang lemah), manakala kawasan berlembah antara rumahku dan orang-orang kampungku telah menghalangku untuk ke tempat solat kerana lembah berkenaan dipenuhi air selepas hujan turun. Sukar untukku melintasinya.
Jadi aku merasa suka kalau engkau Ya Rasulullah boleh datang ke rumahku untuk solat fardhu berjemaah di mana akan ku jadikan satu kawasan tertentu di dalam rumah sebagai tempat solat (musolla).
Maka berkatalah Rasulullah:
 
 
سَأَفْعَلُ فَغَدَا عَلَيَّ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَأَبُو بَكْرٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ بَعْدَ مَا اشْتَدَّ النَّهَارُ فَاسْتَأْذَنَ
 
 رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَأَذِنْتُ لَهُ فَلَمْ يَجْلِسْ حَتَّى قَالَ
 
 أَيْنَ تُحِبُّ أَنْ أُصَلِّيَ مِنْ بَيْتِكَ
 
 فَأَشَرْتُ لَهُ إِلَى الْمَكَانِ الَّذِي أُحِبُّ أَنْ أُصَلِّيَ فِيهِ فَقَامَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَكَبَّرَ وَصَفَفْنَا وَرَاءَهُ
 
 فَصَلَّى رَكْعَتَيْنِ ثُمَّ سَلَّمَ وَسَلَّمْنَا حِينَ سَلَّمَ
 
Saya akan lakukan (tunaikan permintaanmu), maka datanglah Rasulullah Sallallahu alaihi wasallam kepada ku di waktu siang hari bersama Abu Bakar Radhiallahu 'anh ketika waktu hari sudah meninggi (sudah masuk solat zohor).
Rasulullah meminta izin untuk masuk (ke dalam rumah) maka aku pun izinkan, baginda tidak terus duduk sehingga dia berkata: Di manakah engkau suka aku bersolat di rumah mu ini?
Maka aku isyaratkan ke satu tempat yang aku suka bersolat di situ. Maka Rasulullah berdiri dan bertakbir, kami berdiri dalam saf di belakangnya. Dia bersolat dua rakaat kemudian memberi salam dan kami turut memberi salam ketika baginda memberi salam.”[15]
 
 
Kata Ibn Hajar (852 H) di dalam Fath Al-Bari:
Ibnu Wahab meriwayatkan dari Malik bahawasanya tidak mengapa mengimamkan seseorang itu untuk satu kumpulan dalam solat sunat. Adapun solat (sunat) yang ianya sudah masyhur (diketahui) dan dihimpunkan manusia untuk menunaikannya (contohnya solat sunat terawih) maka tidaklah mengapa. Ini berdasarkan kaedah (usul) sad az zarai' [16] kerana dikhuatiri orang yang tidak mengetahui akan menyangka bahawa solat sunat (yang ditunaikan berjemaah) itu adalah fardhu.”[17]
 
Apa yang dapat difaham dari hadis Itban bin Malik bahawa solat sunat yang ditunaikan secara berjemaah oleh Rasulullah Sallallahu alaihi wasallam adalah solat sunat rawatib, bukan solat sunat hajat. Jadi berhujah dengan hadis ini dalam bab solat sunat hajat berjemaah berada dalam kedudukan ”pendalilan yang bersifat sangkaan” atau dalam bahasa arab (ظنية الدلالة). Ianya tidak bersifat qati'e dan meyakinkan kerana dalil hadis ini tidak disokong dengan hadis-hadis lain untuk mengisbatkan hukum solat sunat hajat berjemaah.
 
Bahkan sudah diketahui dari mafhum hadis tadi bahawa kedatangan Rasulullah Sallallahu alaihi wasallam ke rumah Itban Bin Malik bukan kerana apa-apa hajat lain selain dari memenuhi permintaan untuk menunaikan solat fardhu berjemaah di rumah Itban itu. Untuk memperkuatkan alasan ini, mari kita lihat penjelasan Al-Imam An Nawawi di dalam kitab Al-Majmuk Syarah Muhazzab:
Fasal pada menyatakan masalah-masalah yang berkaitan bab solat sunat, (Perkara kelapan) Sesungguhnya telah (disebut) bahawa nawafil (solat-solat sunat) tidak disyariatkan berjemaah padanya kecuali solat dua hari raya (idul fitri dan idul adha), dua solat gerhana (bulan dan matahari), solat istisqa' (minta hujan) demikian juga solat tarawih dan witir sesudahnya, apabila kita mengatakan adalah lebih tepat bahawa ditunaikan berjemaah padanya (tarawih dan witir) ianya afdhal,
 
Dan adapun solat-solat sunat yang lain-lain seperti sunat-sunat rawatib yang (mengiringi) solat fardhu, sunat dhuha[18] dan solat-solat sunat mutlak maka tidak disyariatkan berjemaah iaitu tidak diharuskan, tetapi kalau seseorang itu tunaikan berjemaah adalah harus dan tidak dikatakan makruh.
 
Dan Al-Imam As-Syafie (202H) telah menaskan (mewartakan) di dalam dua buah kitab Mukhtasar Al-Buwaiti dan Ar-Rabi' bahawasanya tak mengapa berjemaah dalam solat sunat dan dalil keharusannya berjemaah ialah hadis –hadis yang banyak di dalam kitab sahih, di antaranya Hadis Itban Bin Malik Radhiallahu 'anh. [19]
 
Seandainya diperhatikan betul-betul teks (nas) yang diberikan oleh Al-Imam As-Syafie Rahimahullah sebagaimana yang dinukilkan semula Al-Imam An-Nawawi di dalam kitab Al-Majmuk: tidak disebut di dalamnya solat sunat hajat. Yang disebut hanya solat sunat rawatib, solat sunat dhuha dan solat sunat mutlak". Perhatikan kata-kata Al-Imam As-Syafie ”tetapi... kalau ditunaikan solat sunat berjemaah adalah harus.."
 
Ungkapan ”tetapi.... kalau” membawa maksud keharusan dan kebenaran adalah berada pada tahap bawah (bukan menjadi keutamaan dalam pilihan) kerana asalnya ia ditunaikan bersendirian. Sekali gus ia membawa maksud ”tidak perlu ditunaikan berpanjangan (sokmo-sokmo) dengan cara berjemaah” kerana dikhuatiri akan dianggap ianya wajib pada pandangan orang awam. Saya akan jelaskan kemudian berkenaan contoh-contoh lain kenapa amalan–amalan sunat yang bukan dalam bentuk lazim, tidak boleh sentiasa ditunaikan berjemaah.
 
Jadi berhujah dengan hadis Itban bin Malik dalam bab solat hajat bejemaah sudah tersasar dari apa yang dimaksudkan oleh Al-Imam As-Syafie. Untuk memperkuatkan hujah saya ini, kata lihat penjelsan lebih lanjut dari Al-Imam An-Nawawi sendiri di dalam kitab beliau yang lain iaitu kitab Raudhah At-Tolibin:
Di antara solat sunat yang tidak disunatkan berjemaah ialah solat sunat dhuha, sekurang-kurangnya dua rakaat….. di antaranya juga sunat tahiyyatul masjid dua rakaat….di antaranya juga dua rakaat ihram dan dua rakaat tawaf apabila kita tidak mewajibkannya….. di antaranya juga dua rakaat sesudah berwudhuk diniatkan solat sunat wudhuk…. Di antaranya juga sunat sebelum Jumaat empat rakaat[20] dan sesudahnya empat rakaat ….. di antaranya juga dua rakaat sunat istikharah…. Di antaranya juga dua rakaat sunat hajat. Wallahu 'alam. [21]
 
Sila perhatikan betul-betul, kata-kata Imam Nawawi. Apa yang disebut di bahagian akhir, jelas menunjukkan bahawa solat sunat Hajat bukan dari kategori solat yang ditunaikan berjemaah. Sekiranya Hadis Itban bin Malik boleh difahami sebagai adanya hukum harus solat hajat berjemaah sudah tentu Al-Imam An-Nawawi tidak memasukkan ke dalam bahagian ”solat-solat sunat yang tidak disunatkan berjemaah". Sekiranya anda tidak yakin dan merasa ragu-ragu dengan apa yang saya bentangkan di sini, maka anda disarankan membuka Kitab Raudhah At-Tolibin.
 
Benarkah Solat Sunat Hajat Sebahagian Dari Masalah Khilafiyyah?
Pertanyaan ini sukar untuk dijawab oleh sesetengah pihak yang mendakwa begitu. Hakikatnya dakwaan ini tidak bersandarkan kepada bukti yang jelas. Semuanya berhujah dengan hujah yang datang melalui pendekatan ”dengar cakap” atau dalam bahasa Kelantan ”dengar oghe lain kecek”.
 
Secara ilmiyyah yang menepati disiplin ilmu, memang tidak ada dalam mana-mana kitab Fekah atau kitab-kitab Hadis yang menyebut secara jelas ada pendapat lain yang mengharuskan berjemaah dalam solat hajat. Apa berlaku di tempat kita hanyalah pandangan peribadi orang-orang tertentu iaitu berdasarkan pandangan yang dibina atas kefahaman yang kurang tepat. Sebagaimana telah disebut tentang tujuan asal Itban Bin Malik menjemput Rasulullah Sallallahu alaihi wasallam ke rumah beliau ialah untuk menunaikan solat fardhu.
 
Realiti Masa Kini Di Negara-Negara Islam Timur Tengah.
Selama beberapa tahun saya berada di kota Madinah, amalan solat hajat tidak pernah berlaku di masjid di Madinah, begitu juga di Masjidil Haram Mekah. Saya pernah bertanya kepada seorang rakan yang belajar di Universiti Al-Azhar Mesir dan berada di sana lebih 6 tahun:
Adakah anta pernah tengok orang-orang Arab Mesir buat solat hajat berjemaah di masjid atau pun di rumah mereka kerana tujuan tertentu, selama 6 tahun anta berada di sana?
Maka jawab rakan saya itu: ”Eh Eh ya tak ya jugak, tak adelah”.
Saya tanya lagi: ”Seandainya kita mendakwa, kita buat solat hajat berjemaah kerana kita bermazhab Syafie, Bukankah di Mesir, umat Islam di sana ramai bermazhab Syafie, kitab Mazhab Imam Syafie yang mana satu mereka pakai pulak hingga tak pernah ada sekali pun mereka buat solat hajat berjemaah? Dan kitab apa pula kita pakai hingga solat hajat berjemaah hampir setiap bulan berlaku dalam masyarakat kita terutama akhir tahun apabila budak-budak sekolah dah dekat musim peperiksaan?
Rakan saya seakan tergamam dan hanya menjawab: Ana pun tak tahu jugak”.
 
Saya ingin mengemukakan persoalan kepada para pembaca, selama berpuluh-puluh tahun rakyat Palestin berperang dengan Israel (hidup dalam kancah peperangan), pernahkah kita mendengar satu sahaja laporan berita sama ada melalui akhbar atau televisyen, berbunyi bahawa ”satu majlis solat hajat beramai-ramai akan diadakan di Masjidil Aqsa, anjuran kerajaan Palestin”, memohon agar rakyat Palestin dipelihara Allah dari kejahatan bangsa jahat Israel? Pernahkah kita mendengar berita sebegini?.
 
Atau pernahkah kita mendengar berita bahawa rakyat Iraq berkumpul beramai-ramai dengan jumlah mungkin mencecah 10 ribu orang, mereka berhimpun di kawasan tanah lapang untuk menunaikan solat hajat berjemaah, memohon kepada Allah agar suasana huru hara di negara mereka akan pulih secepat mungkin? Memohon agar tentera-tentera Amerika segera berundur?
 
Jawapannya: Tiada sebarang laporan berita tentang adanya upacara solat hajat berjemaah dari dua buah negara yang dilanda peperangan itu. Adakah mereka tak pernah buat solat hajat? Jawapannya: Mungkin ada tetapi bukan secara berjemaah. Atau mereka mungkin memadai dengan berdoa selepas solat samada doa bersendirian atau doa beramai-ramai.
 
Mengikut sunnah Nabi, apabila berhadapan dengan kesusahan yang besar atau disebut malapetaka, cara yang betul bukan solat hajat berjemaah. Cara yang sebenarnya ialah membaca qunut nazilah dalam solat lima waktu. Al-Imam Ibnul Qayyim Al-Jauziyyah (751H) menyebut dalam kitab Zaad Al-Maad:
Imam Ahmad bin Hanbal (241H) menyebut dari Ibn Abbas (68H) katanya: ”Rasulullah Sallallahu alaihi wasallam berqunut selama sebulan berturut-turut (setiap hari) dalam solat zohor, asar, maghrib, isyak dan subuh di akhir setiap solat apabila membaca  سمع الله لمن حمده dari rakaat terakhir, mendoakan kebinasaan ke atas satu puak dari Bani Salim iaitu ke atas Ra'l, Zakwan. Dan Usyah Diaminkan oleh makmum di belakangnya… Riawayat Abu Daud [22].
 
Sayyidina Abu Bakar As-Siddiq Radhiallahu 'anh juga membaca qunut (nazilah) di zaman pemerintahan beliau ketika berhadapan dengan masalah besar penentangan dari Musailamah Al-Kazzab yang mengaku sebagai nabi[23]. Tiada riwayat yang menyebut bahawa Abu Bakar As- Siddiq berhadapan dengan masalah besar ini dengan cara menunaikan solat hajat berjemaah.
 
Begitu juga Sayyidina Ali bin Abi Talib membaca qunut (nazilah) ketika berhadapan dengan penentangan dari puak Muawiyah dan pemberontakan penduduk Syam[24].
 
Saya merasa lucu apabila ada pihak tertentu menganjurkan solat hajat berjemaah di masjid selepas solat fardhu Jumaat atas tujuan memohon dijauhkan dari bencana penyakit selesema burung (SARS) satu ketika dahulu. Yang sebetulnya membaca qunut nazilah atau berdoa sahaja. Inilah akibatnya apabila sunnah dipinggirkan dari kefahaman fiqh masyarakat, hingga antara ibadat dan adat sudah bercampur aduk dan bertukar takir.
 
Pandangan Mazhab Lain Tentang Solat Sunat Hajat.
Rasanya tidak lengkap kalau saya tidak sertakan di sini pandangan para ulamak dari mazhab lain. Ini kerana, mengambil kira pendapat-pendapat ulamak lain selain dari ulamak dalam mazhab Al-Imam As-Syafie, dianggap lebih bersikap adil terhadap ilmu dan alim ulamak itu sendiri.
 
Dalam Mazhab Hanafi, solat sunat hajat diletakkan di bawah kumpulan solat sunat yang tidak muakkad dan langsung tidak dinyatakan bahawa ianya dilakukan secara berjemaah.[25]
 
Manakala dalam Mazhab Maliki pula, solat sunat hajat dikategorikan di bawah sembahyang sunat ringan yang mempunyai sebab. Tidak dinyatakan hukum berjemaah dalam solat hajat, cuma ada disebut bahagian perkara makruh dalam melaksanakan sembahyang sunat (nawafil) menurut Mazhab Malik: iaitu sebanyak 4 perkara yang makruh di mana perkara makruh yang ke empat ialah:
 Makruh berhimpun beramai-ramai untuk melakukan sembahyang sunat kecuali sunat Tarawih, kerana sembahyang sunat dilakukan secara bersendirian. Begitu juga makruh melakukan sembahyang sunat dalam jamaah yang kecil di suatu tempat yang masyhur di kalangan orang ramai.[26]
 
Di dalam Mazhab Syafie pula:
Sembahyang sunat yang sunat dilakukan secara berjemaah ada tujuh iaitu sembahyang dua hari raya (raya puasa dan raya haji), sembahyang gerhana matahari dan bulan, sembahyang minta hujan, dan sembahyang tarawih”… sembahyang sunat witir selepas tarawih adalah disunatkan berjemaah. [27]
 
Manakala untuk sembahyang sunat yang tidak disunatkan berjemaah terbahagi kepada dua:
  1. Sembahyang rawatib bersama fardhu.
  2. Sembahyang rawatib berasingan daripada fardhu.
 
Walaupun Dr. Wahbah Zuhaili didalam kitab Al Fiqh Al-Islami Wa Adillatuhu tidak memasukkan sembahyang sunat hajat dalam mana-mana dua bahagian, tetapi sudah diketahui bahawa solat sunat hajat bukan dari kategori solat sunat berjemaah sebagaimana keterangan beliau dalam ms. 60 bahawa sembahyang sunat berjemaah hanya tujuh solat sahaja.
 
Seterusnya dalam menerangkan Mazhab Hanbali dalam solat hajat ini, Dr. Wahbah Az-Zuhaili hanya menyebut:
 Sembahyang hajat:  Sembahyang ini adalah sunat mengikut hadis Abdullah bin Abi Aufa yang telah lalu yang terdapat dalam sunan Tirmizi yang mengatakan sebagai hadis gharib.[28]
 
Tiada diberi keterangan samada solat sunat hajat dalam bahagian solat sunat secara berjemaah atau bukan secara berjemaah.
 
 
Bagaimanakah Jalan Penyelesaian Bagi Permasalahan Ini?
Berikut saya perturunkan beberapa cadangan untuk kita semak kembali amalan solat sunat hajat berjemaah.

Pertama:
Kembali kepada sunnah sepenuhnya – tunaikan solat hajat bersendirian – sekali pun kita merasakan solat hajat berjemaah itu lebih baik, itu hanyalah sangkaan kita. Hakikatnya, mengikuti sunnah Nabi dalam beribadah itu lebih baik sebagaimana kata Ibn Mas'ud dalam athar yang sahih: Berpada-pada dengan sunnah lebih baik dari ijtihad dalam perkara bid'ah”.[29]
 
Firman Allah dalam Surah An-Nuur:
Maksudnya: Maka hendaklah orang-orang yang menyalahi perintah Rasul takut akan ditimpa cobaan atau ditimpa azab yang pedih. [ An-Nuur 24: 63 ].
 
Dr. Wahbah Az-Zuhaili di dalam tafsiran terhadap ayat ini berkata:
Iaitu maka hendaklah merasa takut sesiapa yang menyalahi syariat Ar-Rasul Sallallahu alaihi wasallam secara batin dan zahir, yang menghalang, keluar dari perintahnya dan ketaatan kepadanya, dan itulah jalannya, manhajnya, sunnahnya dan syariatnya.
 
Mereka ialah golongan munafiqun, bahawa terdedahlah mereka kepada mehnah (kesusahan), atau bala' atau ujian di dunia dan sifat kufur dan nifaq atau ditimpa azab yang pedih di akhirat.
 
Kata nama (dhamir) pada (أمره) kembali kepada perintah Allah dan perintah Rasul-Nya. Ayat secara zahirnya menunjukkan perintah ini bersifat wajib. Ayat juga bersifat umum bagi semua orang yang menyanggahi perintah Allah Taala dan perintah Rasul-Nya Sallallahu alaihi wasallam dan bukannya untuk golongan munafiq sahaja.[30]
 
Kedua:
Pilihan kedua dalam sunnah ialah berdoa selepas berwudhuk. Dibolehkan bertawassul dalam doa dengan nama-nama Allah dan Sifat-sifat-Nya, bertawassul dengan amalan soleh, bertawassul dengan keberkatan orang soleh yang masih hidup. Selain dari tiga cara ini, cara yang lain ada kekhilafan di kalangan ulamak. Pilihan pertama dan kedua dianggap mudah dan menepati ruh syariat yang bersifat taisir (memudahkan).
 
Sememangnya syariat Islam didatangkan dalam acuan yang bersifat memudahkan. Baginda Sallallahu alaihi wasallam telah membuat penegasan dalam sabdanya setiap kali diutuskan para sahabat ke mana-mana tempat atas urusan dakwah:
 
بَشِّرُوا وَلَا تُنَفِّرُوا وَيَسِّرُوا وَلَا تُعَسِّرُوا
 
Gembirakanlah dan jangan biarkan mereka bertempiarn, permudahkan dan jangan persusahkan.[31]
 
Ketiga:
Boleh juga sekali-sekala ditunaikan berjemaah, tetapi dengan beberapa syarat yang perlu diberi perhatian:
  • Jangan beri'tikad semasa melakukannya bahawa perbuatan solat hajat secara berjemaah ini sabit dari amalan Rasulullah.
  • Jangan dilakukan ia secara tetap dan terlalu kerap. Tujuannya supaya orang awam tidak mengira bahawa solat hajat termasuk dalam kumpulan solat sunat yang disyariatkan berjemaah. Walaupun kita tidak pernah menyebut secara lisan solat sunat hajat itu wajib berjemaah, tetapi tindakan kita yang kerap menunaikannya secara berjemaah menggambarkan ”mind set” kita menetapkan ianya sebagai wajib.
  • Jangan disertakan ia dengan amalan-amalan bid'ah seumpama meletakkan bekas air di depan imam. Perbuatan sedemikian tidak dirujuk kepada sebarang dalil dan hanya merupakan andaian semata-mata. Jika mahu dilakukan juga, maka sekali sekala ”bekas air tawar”juga perlu diletakkan depan imam semasa solat fardhu atau ketika seseorang sedang baca Al-Quran. Ini kerana semua amal ibadat dikira ada berkatnya! Jangan khususkan keberkatan pada solat hajat sahaja.
  • Jangan tetapkan peraturan sendiri dalam soal menunaikan solat hajat berjemaah seperti menetapkan bahawa satu solat untuk satu hajat. Jika ada 5 hajat maka kena solat hajat lima kali. Fenomena begini sering berlaku di sekolah-sekolah agama yang mempunyai peperiksaan seperti PMRU, PMR, SMU, SPM dan STAM.
 
Oleh kerana ada lima peperiksaan, maka pihak sekolah menganjurkan lima kali solat hajat. Ketetapan sebegini adalah satu kesalahan kerana membuat ketetapan sendiri tanpa ada sandaran dalil dari nas syarak. Atau menetapkan bahawa pelajar-pelajar sekolah agama wajib solat hajat berjemaah di masjid sekolah (sebagai contoh sahaja) dengan kadar seminggu sekali atau sebulan sekali. Atau menetapkan selepas solat hajat perlu berzikir dengan membaca lafaz tahlil (sebagai contoh) sebanyak 100 kali. Kita boleh berzikir, tetapi dengan syarat tidak menetapkan berapa jumlahnya.
 
Saya sendiri secara peribadi walaupun tidak setuju dengan amalan solat hajat secara berjemaah, ada kalanya saya turut serta, kerana mengambil kira faktor lain. Itu pun saya hanya jadi makmum. Kalau diminta jadi imam, maaf saya terpaksa mengundurkan diri dan harap kita saling bertolak ansur dan faham memahami.
 
Akhir kata, harapan dari saya agar kita semua dikurniakan oleh Allah ilmu dan kefahaman  dalam urusan agama-Nya (العلم والفهم في أمور الدين.) Insya Allah. 
 

 
[1]           Penulis sekarang bertugas sebagai guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (PK HEM) di Maahad Tahfiz Al-Qur'an Wal Qiraat, Pulai Chondong, Machang, Kelantan.
[2]           Sunan Tirmizi, Syarah Dan Tahqiq Ahmad Muhammad Syakir, Dar Al Fikr jilid 2 ms 344. hadis no: 479.
[3]           Al-Mustadrak Lil Hakim Ala As-Sahihain, Al-Hafiz Abi Abdillah Muhammad bin Abdullah Al-Hakim Al-Naisaburi, Tahqiq Mustafa Abdul Qadir 'Ata Juz 1, ms 466, dar Al-Kutub Al-Ilmiyyah, hadis no: 1199.
[4]           Lihat Al-Majmuk Syarh Al-Muhazzab, Al-Imam Abi Zakaria Mahyuddin bin Syarah An-Nawawi, Juz 4, Dar Al-Fikr, ms 55.
[5]           Lihat Asna Al-Matolib,Furu' waktu witir dan tarawih. juz 3, ms 213.
[6]           Lihat Syarah Muntaha Al-Iradat, Fasal: Pada menyatakan solat malam, (Fiqh Hanbali), 2/76
[7]           Doa seperti ini termasuklan bab tawassul. Hanya 3 sahaja cara tawassul yang disepakati (ittifaq) di kalangan ulamak. Kata Syaikh Al-Albani ”Dalam cerita si buta ini, dia hanya bertawassul dengan doa Nabi, bukannya dengan tubuh badan Nabi dan kedudukannya sebagai Rasul. Untuk penjelasan lanjut rujuk buku saya (At Tawassul An wa'uhu Wa Ahkamuhu)". Lihat Sahih At-targhib Wa At Tarhib. bahagian nota kaki ms 357. Walau bagaimana ianya adalah masalah khilafiyyah yang masyhur di kalangan ulamak.
[8]           Sahih Sunan Ibn Majah, Nasiruddin Al-Albani  hadis no: 1385. Jilid 1 ms 231. Maktab At-Tarbiyyah Al-Arabi.
[9]           Al-Mustadrak 'Ala As-Sahihain Lil- Imam Al-Hafiz Abi Abdillah Muhammad bin Abdullah Al-Hakim An-Naisaburi, Juz 1/ ms 458, hadis no: 1180. Dar Al-Kutub Al-Ilmiyyah. Beirut, Lubnan.
[10]          Fath Al-Bari Syarh Sahih Bukhari, Al-Hafiz Ahmad bin Ali bin Hajar Al-Asqalani, Juz 10/ ms 116. Dar Al-Makrifah. Beirut Lubnan.
[11]          Sahih: Dikeluarkan oleh At-Tirmizi dalam Sunannya, hadis no: 3479. Tahqiq Ahmad Muhammad Syakir, Dar Al-Fikr jilid 5/ms 483. Dinilai Sahih oleh Al-Albani dalam Silsilah Al-Ahadith As-Sahihah, hadis no: 594.
[12]          Sahih: Dikeluarkan oleh Ibn Majah dan dinilai Sahih oleh Mahmud Muhammad Mahmud dalam semakannya ke atas Sunan Ibn Majah, hadis no: 224 (Dar Kutub Al-Ilmiyah).
[13]          Sahih: Dikeluarkan oleh Bukhari dalam Sahihnya, hadis no: 2652 Bab”Tidak boleh diambil Penyaksian dari saksi yang zalim apabila dia bersaksi”. Rujuk Fath Al-Baari Syarah Sahih Bukhari, Ibn Hajar Al-Asqalani jilid 5/ ms 258, Dar Al Makrifah, Beirut, Lubnan.
[14]          Sahih: Dikeluarkan oleh Bukhari dalam Sahihnya, hadis no: 3673. Bab”Kata-kata Nabi (Kalau aku mengambil kekasih..)”. Lihat Fath Al-Baari Syarah Sahih Bukhari, Ibn Hajar Al-Asqalano jilid 7/ ms 21. Dar Al-Makrifah, Beirut, Lubnan.
[15]          Sahih: Dikeluarkan oleh Bukhari dalam Sahihnya, hadis no: 1186. Lihat Fath Al-Bari Syarah Sahih Bukhari Ibn Hajar Al-Asqalani jilid 3/ ms 62. Dar Al-Makrifah. Beirut Lubnan. 
[16]          Sad Az-Zarai' (سد الذرائع) bermaksud satu perkara yang dihalang kita membuatnya kerana ditakuti berlaku perkara lain yang lebih besar mafasidnya (kesan buruknya). Lihat Al-Wajiz Fi Usul Fiqh Abdul Karim Zaidan, ms 245, Muassasah Ar-Risalah, Beirut. 
[17]     Fath Al Bari jilid 5/ms 62.
[18]          Berkenaan solat dhuha berjemaah ianya pernah berlaku di zaman sahabat, bukan zaman Rasulullah Sallallahu alaihi wasallam. Sebuah Athar dari Mujahid, katanya:
 
عَنْ مُجَاهِدٍ قَالَ دَخَلْتُ أَنَا وَعُرْوَةُ بْنُ الزُّبَيْرِ الْمَسْجِدَ فَإِذَا عَبْدُ اللَّهِ بْنُ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا
جَالِسٌ إِلَى حُجْرَةِ عَائِشَةَ وَإِذَا نَاسٌ يُصَلُّونَ فِي الْمَسْجِدِ صَلَاةَ الضُّحَى قَالَ فَسَأَلْنَاهُ عَنْ صَلَاتِهِمْ فَقَالَ بِدْعَةٌ
Aku, Urwah bin Az-Zubair masuk ke masjid, kami tiba-tiba didapati Abdullah bin Umar sedang duduk bersandar ke bilik (rumah) Aisyah Radhiallahu 'anha, dan tiba-tiba (aku terlihat) beberapa orang sembahyang di dalam masjid solat dhuha (berjemaah), maka kami bertanya (kepada Ibn Umar) tentang solat mereka itu, jawab Ibn Umar:”Bid'ah !. Lihat Fath Al-Baari Syarh Sahih Bukhari, hadis no: 1775. Bab”Berapa kali Nabi berumrah ?", jilid 3/ ms 599.
Komentar dari penulis, Ibn Umar mengatakan bid'ah kerana solat sunat dhuha tiada asalnya dilakukan berjemaah. Tetapi keharusan melakukannya sebagaimana pendapat setengah ulamak fiqh (para fuqaha') sekiranya hanya dibuat sekali-sekala atau jarang-jarang sekali bukannya dijadikan kemestian berjemaah sehingga ianya seperti sudah dikira”sunnah ratibah".). 
[19]          Kitab Al-Majmuk Syarah Al-Muhazzab, Al-Imam Abi Zakaria Mahyuddin bin Syaraf An-Nawawi, Juz 4 / ms 53 -55. Dar Al-Fikr, Damsyiq (edisi Cdrom Maktabah Syamilah versi 2).
[20]          Masalah solat sunat qabliyyah fardhu Jumaat ; dalam Mazhab Imam Syafie ada dua pendapat. Pertama dibolehkan solat sunat qabliyyah dan yang kedua tiada solat sunat qabliyyah pada asalnya.
Masalah ini berlaku kerana pada zaman Rasulullah, azan Jumaat hanya sekali sahaja. Selepas naik ke mimbar, Rasulullah terus memberi salam,dan bilal melaungkan azan, kemudian terus baginda berkhutbah. Tiada ruang masa untuk solat sunat selepas azan Jumaat. Sememangnya tidak berlaku solat sunat qabliyyah Jumaat. Ada riwayat dari Ibnu Umar menyatakan bahawa Rasulullah ada menunaikan solat sunat sebelum fardhu Jumaat 2 rakaat (Sahih Bukhari: 937), yang sebenarnya setelah dikaji oleh ulamak tahqiq solat yang ditunaikan Rasulullah itu ialah solat sunat mutlak. Manakala dalam riwayat Hadis Jabir tentang kisah seorang lelaki masuk ke masjid dan ditegur oleh Rasulullah, solat sunat yang dimaksudkan ialah solat sunat tahiyyatul masjid, bukan solat sunat qabliyyah. Al-Imam An-Nawawi pula berpendapat adanya solat sunat qabliyyah kerana diqiaskan kepada solat fardhu zohor seperti yang dinukilkan oleh beliau dalam Raudhah At-Tolibin:”tempat pergantungan padanya ialah qias ke atas solat zohor”. Pendapat Imam Nawawi ditolak oleh ulamak lain seperti Ibn Hajar Asqalani dalam Fath Bari, bahawa sebelum fardhu Jumaat tidak ada solat sunat qabliyyah, manakala apa yang dibuat oleh para sahabat ialah sunat mutlak. Nas ucapan seperti berikut:
“Ada pun kata-kata Ibnu Umar (adalah nabi memanjangkan solatnya sebelum Jumaat), sekiranya yang dikehendaki di sini selepas masuk waktu (solat Jumaat) maka tidak sah (tidak mungkin) untuk disandarkan amalan itu kepada Nabi kerana baginda keluar ke masjid ketika matahari sudah condong (mula masuk waktu zohor) maka sibuklah dia dengan urusan khutbah dan solat Jumaat. Sekiranya yang dikehendaki sebelum masuk waktu solat maka itu solat sunat semata-mata (sunat mutlak) bukan sunat ratibah, maka tiada sebarng hujah padanya untuk solat sunat Jumaat sebelumnya bahkan ianya adalah sunat mutlak”.
Lihat Fath Al-Baari juz 2 / ms 426. Perkara yang sama dijelaskan oleh Al-Imam Abu Syamah di dalam kitab Al-Ba 'ith Ala Inkar Al-Bida' Wa Al-Hawadith Dar Ar-Rayah Ar-Riyadh, ms 285. Juga turut mengenengahkan isu ini ialah Ibnu Qayyim di dalam Zaad Al-Maad, jilid 1/ms 432, Muassasah Ar-Risalah, Beirut, Lubnan.
[21]          Raudhah At-Tolibin, Al-Imam Abi Zakaria Yahya bin Syaraf An-Nawawi Ad-Dimasyqi, juz 1 / ms 434 -436. Dar Al-Kutub Al-Ilmiyah, Beirut, Lubnan (edisi Cdrom Maktabah Syamilah versi 2).
[22]          Lihat Zaad Al-Maad. Al-Imam Ibn Qayyim Al-Jauziyyah,Tahqiq Syuaib Ar Na 'uth jilid 1 / ms 273. Muassasah Ar-Risalah. Beirut
[23]          Lihat Zaad Al-Maad, jilid 1 / ms 275.
[24]          Lihat Zaad Al-Maad, jilid 1 / ms 275.
[25]          Fiqh dan Perundangan Islam Jilid 2/ ms 50, Wahbah Zuhaili, Edisi Terjemahahan Dewan Bahasa dan Pustaka Kuala Lumpur 2002.
[26]          Fiqh dan Perundangan Islam jilid 2/ ms 60.
[27]          Fiqh dan Perundangan Islam jilid 2/ ms 60.
[28]          Fiqh dan Perundangan Islam jilid 2 /ms 80.
[29]          Sahih: Al-Hakim Fi Al Mustadrak secara mauquf hadis no. 352, Bab”Kitab Al-Ilmu”katanya:sanad sahih mengikut  syarat Bukhari dan Muslim. Al-Hafiz Abi Abdillah Muhammad Bin Abdullah Al-Hakim An-Naisaburi, juz 1 / ms 184, Dar Al-Kutub Al-Ilmiyyah, Beirut Lubnan.
[30]          At Tafsir Al-Munir Fi Al-Aqidah Wa As-Syariah Wa Al-Manhaj  Wahbah Zuhaili, Dar Al-Fikr Damsyiq, jilid 18 / 315-316.
[31]          Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Sahihnya, hadis no: 4525, Dari Hadis Abi Musa.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...