Rabu, 4 Ogos 2010

Kelantan Tetapkan Zakat Fitrah RM7 Tahun Ini


22 Syaaban 1431H.


KOTA BARU: Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) menetapkan kadar bayaran zakat fitrah tahun ini RM7, iaitu naik 10 sen berbanding tahun lalu.

Timbalan Yang Dipertua MAIK, Datuk Kamaruddin Mohd Zin berkata, keputusan itu dibuat oleh Majlis Fatwa Ulama MAIK sebelum ini selepas mengambil kira harga semasa beras yang menjadi makanan umat Islam di negeri ini.

Dengan pengumuman itu, Kelantan adalah negeri kedua selepas Pahang yang mengisytiharkan kadar bayaran zakat fitrah di seluruh negara.

MAIK menjangkakan dapat mengutip sebanyak RM7.5 juta zakat fitrah tahun ini berbanding RM7.3 juta tahun lalu, katanya pada sidang akhbar di Pejabat MAIK di Kompleks Balai Islam, di sini hari ini.

Katanya, MAIK akan melantik 571 amil terdiri daripada imam dan pegawai masjid, termasuk pegawai agama di kem tentera, polis, penjara dan pusat tahanan serenti di seluruh negeri untuk mengutip bayaran zakat.

Bagi kemudahan pembayar zakat, MAIK akan membuka kaunter bayaran zakat tujuh hari seminggu sepanjang Ramadan pada waktu pejabat di pejabat MAIK termasuk hari cuti am dan kelepasan, katanya. - BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...