Mengerjakan korban mengikut sunah
Oleh Mohd. Yaakub bin Mohd. Yunus
ULAMA
ahli sunnah wal jamaah telah menetapkan satu kaedah asas dalam
menentukan sama ada amal ibadah kita diterima atau ditolak Allah. Adalah
penting bagi kita untuk benar-benar memahami kaedah asas ini agar kita
tidak melakukan amalan yang sia-sia kerana ia tidak diterima Allah.
Kaedah
yang dimaksudkan oleh penulis adalah amal ibadah tersebut hendaklah
dikerjakan semata-mata ikhlas kerana Allah dan mengikuti (ittiba’) sunah
Nabi s.a.w.
Firman Allah s.w.t: Dialah yang telah mentakdirkan
adanya mati dan hidup (kamu) untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu,
siapakah antara kamu yang lebih baik amalnya dan Dia Maha Berkuasa
(membalas amal kamu) lagi Maha Pengampun (bagi orang- orang yang
bertaubat). (al-Mulk: 2)
Menurut Fudhail bin ‘Iyaadh r.a, “Maksud
‘amalan yang lebih baik’ ialah yang paling ikhlas dan paling benar.
Mereka bertanya: Wahai Ali (nama gelaran untuk Fudhail bin ‘Iyaadh)!
Apakah yang dimaksudkan dengan paling benar dan yang paling ikhlas?
Jawab Fudhail: Sesungguhnya amal itu apabila dikerjakan dengan ikhlas
tetapi tidak benar, nescaya tidak akan diterima dan apabila amal itu
dikerjakan dengan benar tetapi tidak ikhlas, juga tidak akan diterima
sehingga amal itu dikerjakan dengan ikhlas dan benar. Yang dimaksudkan
dengan ikhlas ialah amal itu kerana Allah dan yang dimaksudkan dengan
benar ialah amal itu di atas dasar sunah.”
Tambahan pula
Rasulullah s.a.w. ialah contoh teladan terbaik kepada seluruh umat
Islam. Ini dijelaskan sebagaimana firman Allah: Demi sesungguhnya,
adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu
bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan
baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah
banyak-banyak (dalam masa susah dan senang). (al-Ahzaab: 21)
Oleh
itu, sewajarnya dalam melaksanakan ibadah korban bersempena dengan
perayaan Aidiladha ini, kita berusaha sedaya upaya mencontohi sunah
Baginda seperti berikut:
* Waktu perlaksanaan ibadah korban.
Menyembelih
binatang korban hanya boleh dilaksanakan setelah selesai solat Hari
Raya Aidiladha dan berlanjutan sehingga akhir hari Tasyriq, iaitu tiga
hari selepas solat Hari Raya Aidiladha. Oleh itu, penyembelihan haiwan
korban boleh dilaksanakan pada 10, 11, 12 dan 13 Zulhijjah.
Sabda
Rasulullah: Sesungguhnya perkara pertama yang kita mulakan pada hari
ini (Aidiladha) ialah kita solat kemudian menyembelih (bintang korban).
Oleh itu, sesiapa yang melakukan sebegitu dia telah menepati sunah kami.
Sesiapa yang menyembelih sebelum solat, sesungguhnya sembelihan itu
hanyalah menjadi daging untuk diberikan kepada keluarganya (sedekah)
bukan termasuk binatang korban. (riwayat Muslim di dalam Sahihnya no:
1961)
Sabda Rasulullah lagi, “Seluruh hari Tasyriq merupakan waktu penyembelihan”. (riwayat Ahmad di dalam Musnadnya no: 16151).
* Haiwan korban tersebut tidak memiliki kecacatan.
Hendaklah
dipastikan haiwan yang hendak dikorbankan itu adalah dari jenis baka
yang baik serta tidak memiliki kecacatan seperti buta, tempang, kurus,
tanduk patah, telinga terkoyak, lemah dan penyakit lain.
Sabda
Rasulullah: Empat jenis binatang yang tidak dibolehkan dalam ibadah
korban: Buta sebelah matanya yang jelas butanya, sakit yang jelas
sakitnya, tempang yang jelas bengkoknya, tidak berdaya berjalan dan yang
tidak mempunyai lemak (kurus). (riwayat Abu Daud dalam Sunannya no:
2420).
* Tidak menggunting rambut dan memotong kuku.
Bagi
mereka yang ingin melaksanakan ibadah korban, dia tidak boleh
menggunting rambut dan memotong kukunya semenjak dari 1 Zulhijjah
sehingga dia melaksanakan ibadah tersebut.
Sabda Rasulullah:
Jika telah masuk 10 hari pertama bulan Zulhijjah dan salah seorang
antara kamu semua ingin menyembelih korban, janganlah memotong rambut
dan kukunya walau sedikit. (riwayat Muslim di dalam Sahihnya no: 1977).
Larangan
memotong rambut ini termasuk juga mencabut mahupun mencukur atau
apa-apa cara yang boleh menghilangkan segala jenis rambut dan bulu di
badan.
Bagi mereka yang sengaja mahupun tidak sengaja memotong
kuku ataupun rambut sebelum melaksanakan ibadah korban, memadai dia
memohon keampunan kepada Allah dengan bersungguh-sungguh. Dia tidak
dikenakan fidyah (tebusan atau denda).
* Seekor unta atau lembu boleh dibahagikan kepada tujuh bahagian.
Jabir
r.a berkata: Kami pernah menyembelih (haiwan korban) bersama Rasulullah
ketika di Hudaibiah. Seekor unta untuk tujuh orang dan menyembelih
lembu untuk tujuh orang bersama-bersama Rasulullah. (riwayat Muslim di
dalam Sahihnya no: 1318).
Adapun bagi kambing hanya diperbolehkan untuk satu penama sahaja.
* Boleh berkorban untuk diri sendiri serta ahli keluarganya.
Seseorang
dibenarkan berkorban dan berkongsi pahalanya bagi dirinya sendiri serta
bagi pihak keluarganya sekalipun jumlah yang ramai dan hanya dengan
seekor kambing atau sebahagian daripada tujuh bahagian itu.
Atha’
bin Yassar pernah bertanya kepada Abu Ayyub al-Ansori tentang cara
berkorban pada zaman Rasulullah. Lalu Abu Ayyub menjawab: “Dulu
seseorang berkorban seekor kambing untuk dirinya dan keluarganya lalu
mereka memakannya dan membahagikannya kepada orang lain.” (riwayat
al-Tirmizi di dalam Sunannya no: 1425).
* Ibadah korban dilaksanakan di musolla.
Disunatkan
melaksanakan ibadah korban di tanah lapang yang digunakan untuk
mengerjakan solat Aidiladha (musolla) demi memperlihatkan syiar Islam.
Menurut
Ibnu Umar r.a, Rasulullah bersabda: Sudah menjadi kebiasaan Baginda
menyembelih dan berkorban di musolla. (riwayat Bukhari di dalam Sahihnya
no: 5552).
* Sunat menyembelih sendiri haiwan korban.
Sunah
dan afdal mereka yang ingin melaksanakan ibadah korban tersebut agar
menyembelih haiwan korbannya dengan tangannya sendiri.
Anas r.a
berkata: Nabi s.a.w pernah berkorban dengan dua ekor kambing biri-biri
yang bagus lagi bertanduk. Baginda menyembelih kedua-duanya dengan
tangan Baginda sendiri. (riwayat al-Bukhari di dalam Sahihnya no: 5565).
Namun, dibolehkan juga bagi mereka yang ingin berkorban mewakilkan penyembelihan kepada orang Islam yang lain.
* Menyembelih haiwan korban mengikut sunah.
Hendaklah
menyembelih haiwan korban menggunakan objek yang tajam seperti pisau
dan dilakukan dengan cepat agar haiwan tersebut mati dengan serta-merta.
Sabda Rasulullah: Sesungguhnya Allah telah mewajibkan untuk
berbuat baik dalam segala hal. Ketika kalian membunuh, maka berbuat
baiklah dalam membunuh tersebut, dan ketika kamu menyembelih berbuat
baiklah dalam penyembelihan, dan hendaknya salah seorang di antara
kalian menajamkan pisaunya dan memudahkan untuk haiwan sembelihannya.
(riwayat Muslim di dalam Sahihnya no: 1955)
Sebelum menyembelih,
baringkan haiwan korban tersebut pada sebelah sisi kirinya agar mudah
memegang pisau dengan tangan kanan dan memegang atau menahan lehernya
dengan tangan kiri. Ketika menyembelih hendaklah membaca bismillahi
wallahu akbar.
* Daging korban tersebut boleh dimakan, disedekah dan dihadiahkan.
Sunat
bagi keluarga yang melakukan ibadah korban turut memakan sebahagian
daging, menghadiahkan sebahagiannya kepada orang lain dan menyedekahkan
sebahagian yang lain. Malah, mereka juga boleh menyimpan daging
tersebut.
Sabda Nabi s.a.w: Makan dan simpanlah serta sedekahkanlah (daging korban itu). (riwayat Muslim di dalam Sahihnya no: 1971).
* Tidak boleh mengupah tukang sembelih dengan daging korban.
Sudah
menjadi lumrah bagi masjid-masjid di Malaysia memberi tukang sembelih
daging korban tersebut sebagai upah bagi kerjanya. Perbuatan ini
bertentangan dengan syarak dan dilarang keras oleh Rasulullah.
Upah kepada tukang sembelih hendaklah diberi menggunakan harta sendiri dan bukannya dari hasil daging binatang korban itu.
Ali
r.a berkata, Nabi s.a.w pernah menyuruhku menyempurnakan seekor unta
milik Baginda kemudian menyedekahkan daging, kulit dan apa yang menutupi
belakang unta-unta itu (seperti pelana dan seumpamanya) serta aku juga
tidak memberi apa pun kepada tukang sembelih tersebut. Dia berkata: Kami
memberinya dengan harta kami sendiri. (riwayat Muslim di dalam Sahihnya
no: 1317).
* Tidak boleh berkongsi haiwan korban bagi ibadah korban dan akikah.
Ada segelintir umat Islam yang menggabungkan ibadah korban dan akikah dengan menggunakan formula dua dalam satu.
Hal
ini sebenarnya tidak memiliki sebarang dalil yang sabit daripada
Rasulullah. Syaikh Abu Muhammad ‘Ishom bin Mar’i dalam kitabnya Ahkamul
Aqiqah berkata: “Dalam masalah ini pendapat yang benar adalah tidak sah
menggabungkan niat akikah dengan korban. Sebab akikah dan korban adalah
ibadah yang berbeza jika ditinjau dari segi bentuknya dan tidak ada
dalil yang menjelaskan sahnya mengerjakan salah satunya dengan niat dua
amalan sekali gus. Sedangkan sebaik-baik petunjuk adalah petunjuk
Rasulullah dan Allah tidak pernah lupa.”
Sumber:
Utusan Malaysia
7 Zulhijjah 1428H
17 Disember 207
Tiada ulasan:
Catat Ulasan